PENGHORMATAN TERAKHIR BUAT CIKGU AHMAD HJ TUDIN

[hcolumns]

[columnhelper col-md-6]

5 Julai 2014, MPH – Pada hari ini, Sekolah Menengah Awang Semaun akan kehilangan seorang lagi guru bintang yang digalati dan yang paling lama berkhidmat di sekolah ini. Beliau ialah Cikgu Ahmad bin Haji Tudin, guru lukisan dan seorang ahli penguatkuasa disiplin di Sekolah Menengah Awang Semaun. Beliau telah berkhidmat dan mencurah bakti di sekolah ini selama lebih kurang 32 tahun, seiring dengan umur sekolah ini.

Sebagai tanda penghormatan, pelajar-pelajar serta guru-guru lelaki termasuklah Pengetua sekolah, Cikgu Hj Metusin bin Hj Jais yang juga merupakan mantan pelajar Cikgu Ahmad sendiri telah menziarahi beliau di Dewan Serbaguna sekolah pagi tadi. Perasaan hiba dapat dirasai apabila ada di kalangan pelajar-pelajar dan guru-guru yang memeluk beliau sambil mengucapkan terima kasih dan mendoakan beliau agar sentiasa sihat dan sejahtera selalu.

Cikgu Ahmad bin Haji Tudin telah mula berkhidmat di sekolah ini sejak tahun 1982 lagi iaitu semasa sekolah ini masih lagi dikenali dengan nama lamanya iaitu Sungai Kebun English School.

[columnhelper col-md-6]

Beliau merupakan seorang guru yang berjiwa kebapaan yang tidak pernah jemu-jemu memberi nasihat dan tunjuk ajar kepada pelajar-pelajar dan menjadi contoh ikutan guru-guru yang baru berkhidmat di sekolah ini. Beliau juga dikenali sebagai seorang atlet yang sangat aktif dan masih lagi giat dengan kegiatan sukan terutamanya bola sepak. Antara jasa beliau yang akan sentiasa terpahat di dalam catatan sejarah sekolah ini ialah hasil karya lagu sekolah “Semangat Semaun” yang diperkenalkan pada tahun 2006 dan juga terbinanya tugu peringatan Hari Guru yang pertama pada tahun 1991 yang masih lagi berdiri tegak di perkarangan sekolah ini.Sesungguhnya Sekolah Menengah Awang Semaun akan sentiasa mengingati jasa beliau sampai bila-bila dan mendoakan agar beliau akan sentiasa maju jaya dan sihat selalu. Amin.

Tonton petikan acara berziarah pagi tadi. 

[/hcolumns]

 

 

 

 

Leave a Reply